18 October 2021

PEMBUKAAN PRASEKOLAH PASCA PKP 2021



Pembukaan Prasekolah SK Jenderam telah berjaya dilaksanakan dengan baik selaras dengan kebenaran yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia yang bermula pada hari ini 18 Oktober 2021 (Isnin). Pembukaan sekolah ini hanya melibatkan murid prasekolah sahaja yang meliputi dua buah prasekolah di SK Jenderam. Prasekolah yang terlibat adalah Prasekolah Bestari dan Prasekolah Cemerlang.


Berikutan dengan pembukaan sekolah ini, Guru Besar, PK Pentadbiran, Guru Prasekolah, YPD PIBG dan beberapa AJK PIBG telah turut sama berada di pintu pagar sekolah untuk menyambut kehadiran murid-murid ke sekolah semula. Turut hadir bersama adalah Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) yang terdiri daripada dua orang pegawai polis dari Balai Polis Dengkil.

Selain daripada itu, sesi pembukaan sekolah ini juga turut dipantau operasinya oleh En. Alwi bin Che Sulaiman dari Pejabat Pendidikan Daerah Sepang (PPD Sepang). Kehadiran beliau adalah untuk memantau pengoperasian sekolah ketika menerima kehadiran murid dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Pihak sekolah amat mengalu-alukan kehadiran murid ke sekolah semula. Pelbagai perasaan dapat dilihat pada wajah anak-anak yang menggambarkan keceriaan mereka untuk hadir ke sekolah. Ada juga anak-anak yang masih bersedih kerana terpaksa berjauhan dengan ibu bapa untuk hadir ke sekolah kerana telah terlalu lama berada di sisi ibu bapa. 

Terima kasih diucapkan kepada ibu bapa yang sudi menghantar anak-anak ke sekolah semula. Syabas dan tahniah kepada semua pihak yang telah bersama-sama menjadikan kehadiran anak-anak di sekolah suatu realiti. Ini merupakan kayu ukur bagi pihak sekolah untuk menambahbaik operasi yang sedia ada untuk sesi pembukaan sekolah bagi Tahap 1 dan Tahap 2 kelak.

No comments:

Post a Comment