Sejarah SKJ

Sekolah yang terawal sekali didirikan ialah pada tahun 1926 iaitu nama asalnya Sekolah Melayu Sungai Jenderam. Kedudukannya terletak di sebelah klinik kerajaan yang ada sekarang. Di masa pemerintahan Jepun,sekolah ini terus beroperasi dengan bilangan murid yang ketika itu seramai 15 orang. Bangunan sekolah tersebut mengandungi 4 bilik darjah dan tiangnya batu manakala dindingnya dianyam.

Pada tahun 1940-an sebuah bangunan telah didirikan oleh kerajaan menggantikan bangunan lama. Ketika itu tapaknya berhampiran jalan(lorong kecil semasa itu)berhadapan dengan rumah-rumah kedai. Dindingnya diperbuat daripada papan dan beratapkan zing. Tapak bangunan yang ada sekarang ini masih lagi dilitupi oleh hutan dan semak-samun. Sekolah ini mempunyai 7 bilik darjah yang dapat menampung lebih kurang 150 orang murid dan lebih kurang 5 orang tenaga pengajar. Ketika itu bilangan murid agak ramai terdiri dari anak-anakkampung ini dan Kampung Baru Batu 26(Kampung Jenderam Hilir). Nama asal sekolah ini masih digunakan.

Pada tahun 1948,apabila darurat diisytiharkan, semua penduduk kampung diarahkan Berpindah dan dibawa ke Kem Tahanan di Kluang, Johor. Sekolah ditutup buat sementara waktu. Pada 15 Februari 1951, penduduk kampung diarahkan mengosongkan kampung oleh pemerintah kerana kawasan ini dikenalpasti sebagai kawasan hitam. Maka sekolah terpaksa ditutup dan akhirnya musnah dimakan anai-anai. Apabila kerajaan mengumumkan kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957, kampung yang lengang dan sunyi, mula dimasuki semula oleh orang-orang kampung dan juga pendatang luar yang telah dibebaskan dari tahanan. Dari sinilah timbul kesedaran untuk mewujudkan semula sekolah yang telah terhenti sekian lama.

Pihak pemerintah pada masa itu telah menggantikan bangunan yang musnah dengan bangunan yang baru, lebih kukuh dan besar. Pembinaannya bermula pada tahun 1958 dan siap pada tahun 1960. Dindingnya batu, daun tingkapnya papan dan beratapkan asbestos. Kedudukannya terletak di tapak bangunan yang ada sekarang. Semasa pembinaannya, anak-anak kampung ini menumpang belajar di Sekolah Melayu Batu 26 Jalan Baru Jenderam Hilir (sekarang SK enderam Hilir). Murid-muridnya diagihkan dari darjah 1 hingga 6 tetapi memandangkan murid yang sedikit dan kekurangan guru maka diadakan kelas bercantum. Pada tahun 1956,barulah usaha pemasangan bekalan elektrik dibuat oleh kerajaan dan menyusul kemudian bekalan telaga digunakan. Sekolah baru itu mengandungi 6 buah kelas, sebuah pejabat, tandas untuk guru dan murid.

No comments:

Post a Comment