BIODATA GURU
Segak bergaya putera
mahkota,
Dimahkotakan dalam majlis
yang meriah,
Izinkan saya membacakan
biodata,
Didahului dengan lafaz
bismillah.
Bismillahirrahmanirrahim….
6 Januari 1956, di Tangkak, Johor merupakan tarikh keramat
dengan lahirnya seorang puteri yang diberi nama Kamisah binti Mohd Don. Beliau
merupakan anak ke 4 daripada 6 orang adik beradik. Puan kamisah mendapat
pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Perempuan Bandar Tangkak, Johor pada tahun 1962 hingga 1967. Seterusnya
menyambung pelajaran peringkat sekolah menengah di Sekolah Menengah Aliran
Inggeris, Tangkak, Johor pada tahun 1968 hingga 1974 dan melanjutkan
pelajaran dalam bidang perguruan di Maktab Perguruan Jalan Raja Muda, Kampung
Baru, Kuala Lumpur. Di mana, kini Maktab tersebut telah bertukar lokasi iaitu
Institut Pendidikan Bahasa Lembah Pantai, Kuala Lumpur.
Dengan tekad azam dan minat yang tinggi dalam bidang keguruan,
beliau lebih yakin dan berani menempuh segala ujian dan halangan dalam arena perguruan.
Kata orang, “alah bisa tegal biasa”, dan “genggam bara biar sampai jadi abu”,
begitulah semangat yang dimiliki oleh Puan Kamisah Binti Omar, Guru Penolong
Kanan Kurikulum yang sangat dihormati dan disayangi.
“Selamat Pagi Cikgu” ucapan keramat pertama yang diterima beliau
pada Januari 1978 di Sekolah Tunku Mahmood, Kluang Johor. Khidmat bakti bagi
anak-anak di Kluang, Johor tamat pada 1980, apabila cikgu Kamisah telah bertukar
ke Dengkil, Selangor demi menunaikan tanggungjawab sebagai isteri yang sempurna
kepada En. Zainal Abidin bin Ahmad selepas sah diijabkabulkan pada 27 Ogos 1978
di Tangkak, Johor.
Pada tanggal Januari 1981, cikgu Kamisah mula berkhidmat di
Sekolah Kebangsaan Jenderam, Kampung Jenderam Hulu. Khidmat bakti dicurahkan
selama 21 tahun sehingga pada tahun 2002, cikgu Kamisah telah ditukarkan ke
Sekolah Kebangsaan Jenderam Hilir sebagai Guru Penolong Kanan Kurikulum. Perkhidmatan
beliau di SK Jenderam Hilir tamat pada tahun 2009 kerana Puan Kamisah sekali
lagi ditempatkan ke Sekolah Kebangsaan Jenderam pada Julai 2009 sehingga hari
ini.
Peranan berat sebagai Guru Penolong Kanan di Sekolah Kebangsaan
Jenderam membuatkan beliau lebih kental dan sentiasa bersedia menempuh segala
ujian dalam melaksanakan tanggungjawab harian sebagai seorang isteri, ibu
kepada 8 orang anak dan guru.
Selama 35 tahun perkhidmatannya, beliau merupakan seorang guru
yang sentiasa bermotivasi. Bakat kepimpinannya sungguh menyerlah. Berpegang
kepada prinsip hidupnya yang suka berterus terang dan hanya percaya kepada
kejujuran. Beliau mempunyai wawasan yang cukup tinggi dan mesti dicontohi.
Sikap prihatinnya terhadap anak didik amat tinggi malah sentiasa mengutamakan
mereka dalam banyak perkara. Beliau tidak pernah jemu dan mengalah dalam usaha
memberikan pendidikan yang terbaik kepada semua anak didiknya.
Beliau telah memulakan tugas sebagai seorang guru penolong kanan
1 di SK Jenderam pada Disember 2009. Disinilah destinasi terakhir beliau
sebelum menamatkan perkhidmatan beliau pada usia persaraan 58 tahun. Sikap
keprihatinannya terhadap anak bangsa tidak pernah luntur ditelan masa di mamah
usia. Sentiasa ikhlas menjalankan tugasnya dan tidak pernah lokek berkongsi
ilmu dan segalanya. Banyak masanya dihabiskan dengan mengabdikan diri pada
tugasnya sebagai seorang guru.
Terang bulan dimalam hari,
Indah gemerlap bintang
bercahaya,
Kasih dan sayang ikhlas
terpatri,
Rindu bertaut sepenuh
jiwa.
Jadilah apapun pada akhir
kehidupanmu, guruku,
Budi yang diapungkan
didulangi ilmu,
Panggilan keramat CIKGU
kekal terpahat,
Menjadi kenangan ke akhir
hayat.
Tinggi sungguh pohon
kuini,
Dililit pepaku bersulam
semalu,
Melepaskan dirimu disaat
ini,
Basahlah kami meratap
pilu.
Sekian, Wabillahi taufiq
walhidayah, wassalamu…….~
Acara memotong pulut kuning |
penyampaian cenderahati daripada YM Raja Maimuhan, GB SKJ |
Lambaian kenangan Pn. Kamisah, GPK Kurikulum SKJ |
No comments:
Post a Comment