Anda Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Generasi Apa?
Apa kelebihan dan kelemahan anda?
Sepanjang karier sebagai guru, pernahkah anda mengamati faktor-faktor cabaran yang datangnya daripada sifat sesuatu generasi? Sebelum tulisan ini diteruskan suka di sini mengingatkan kembali beberapa generasi yang kini mungkin sedang berkhidmat di bidang pendidikan sama ada sebagai guru ataupun pensyarah. Sepintas lalu ini hanyalah satu coretan berdasarkan beberapa kajian yang dibuat oleh para pengkaji. Ia bukan bertujuan untuk menonjolkan kelemahan mana-mana generasi tetapi merupakan satu panduan umum dalam membangunkan potensi guru sebagai sumber manusia yang sangat penting.
Generasi yang masih berkhidmat tetapi tergolong sebagai "guru lama" iaitu mereka yang berusia lingkungan 50 tahun hingga 58 tahun (daripada tarikh artikel ini diterbitkan) merupakan generasi "babyboomers" iaitu mereka yang lahir selepas perang dunia kedua. Guru generasi X pula guru yang berusia antara 28 tahun hingga 49 tahun iaitu mereka yang lahir pada tahun 1961 hingga 1982. Generasi Y pula adalah mereka yang kini berusia 15 hingga 27 tahun iaitu mereka yang lahir selepas tahun 1983 hingga 1995. (terminologi generasi ini mungkin berbeza mengikut negara-negara tertentu seperti US, Australia, Perancis iaitu mengikut yang diperdebatkan)
Guru generasi babyboomers merupakan guru yang kerapkali dilabelkan sebagai guru yang jumud dan buta teknologi terutamanya komputer (namun ada segelintir yang hebat sehingga menjadi pensyarah teknologi maklumat di universiti). Mereka sering mengalami masalah dalam melaksanakan tugasan dan arahan yang melibatkan teknologi tetapi sangat peka dengan persekitaran sosial masyarakat. Jika mereka tidak menjawat jawatan sebagai pentadbir, pihak pentadbiran biasanya tidak akan memberi tugasan yang melibatkan teknologi komputer contohnya setiausaha peperiksaan, guru data dan sebagainya tetapi mereka diberi tugasan yang bersifat sosial seperti pentadbiran murid, disiplin, kebajikan dan sebagainya. Mereka mempunyai kelebihan interpersonal yang sangat baik, bijak berdiplomasi dan peka dengan personaliti dan psikologi kanak-kanak
Guru generasi X pula merupakan guru yang terkenal dengan sifat inovatif, mempunyai inisiatif yang tinggi dan berani membuat pembaharuan. Namun mereka juga dikenali sebagai generasi "keras kepala" kerana sering tidak bersetuju dan tidak sehaluan dengan generasi babyboomers dan Generasi Y. Guru generasi X juga dikaji sebagai mereka yang lebih versatile ketika bertugas (boleh diletakkan dalam mana-mana bahagian tanpa banyak masalah), mudah terpengaruh dengan idealisme baru yang bersifat rasional dan lebih terdedah dengan aktiviti penipuan. Guru-guru ini kebanyakkan kini sedang menjawat jawatan penting di sekolah seperti ketua-ketua panitia, ketua-ketua bidang dan sebagian kecil menjadi GPK dan guru besar atau pengetua. Pentadbiran PPD atau sekolah seharusnya memanfaatkan kebolehan mereka dan membangunkan potensi mereka secara lebih komprehensif.
Guru generasi Y pula merupakan guru-guru baru yang berusia antara 23 hingga 27 tahun dan kebanyakkan mereka adalah guru berijazah (KPLI, KPLSPM, DPLI). Mereka merupakan generasi MTV yang amat peka dengan perkembangan teknologi semasa dan sangat mahir dalam teknologi maklumat. Mereka mempunyai kelebihan yang tinggi dalam mengikuti sebarang perubahan namun lemah dalam pengurusan murid, bersifat fleksibel yang agak tinggi, kurang peka dengan perubahan tingkahlaku dan psikologi murid. Pihak pentadbiran mempunyai cabaran yang besar dalam membangunkan kualiti interpersonal guru-guru generasi Y ini namun ia adalah satu cabaran baru yang perlu dilihat sebagai serius kerana mereka merupakan pendidik kepada generasi millenium iaitu generasi yang sangat muda dan terdedah dengan cabaran dunia tanpa sempadan.